22 January 2011

Teater Muzikal Tun Mahathir 2


Hari ini saya hendak menitipkan sedikit ulasan tentang teater muzikal Tun Mahathir 2 yang saya tonton semalam. Segala yang dipentaskan dalam muzikal ini adalah suka duka dan momen peribadi milik tokoh terulung negara. Melalui pementasan ini juga, penonton dapat mengetahui serba sedikit tentang latar kehidupan mantan Perdana Menteri Malaysia ini yang tidak diketahui umum.


Sebaik sahaja usai menonton muzikal Tun Mahathir 2, terasa satu kepuasan yang tidak dapat saya gambarkan dengan kata2. Keluar sahaja dari dewan Panggung Sari, pelbagai perasaan menguasai diri saya. Yang pastinya perasaan sebak begitu mendominasi diri saya sepanjang menonton detik2 perjuangan tokoh agung yang menjadi idola saya itu. Tidak tergambar oleh saya pahit getir perjuangan yang digalas dibahu pemimpin agung itu. Dalam muzikal tersebut, saya disedarkan betapa besarnya jasa yang dicurahkan oleh beliau. Tidak keterlaluan untuk saya katakan, segala pembanguan dan kemajuan yang kita kecapi sekarang ini adalah atas usaha beliau. Melihat paparan dilayar gergasi imbasan pembangunan yang diilhamkan oleh Tun Mahathir, dari hanya lakaran idea sehingga semuanya berjaya direalisasikan begitu menyentuh hati saya.

Mengimbas muzikal yang dipentaskan, kita dapat menyelami kehidupan Tun Mahathir dari zaman kanak-kanak sehingga ke zaman beliau melepaskan jawatan sebagai  pemimpin terulung. Dasarnya Tun  Mahathir dilihat sebagai tokoh yang begitu berwibawa mengemudi Malaysia sehingga menjadi negara ulung di mata dunia.  Di angkat sebagai salah seorang pemimpin terbaik dunia. Namun hakikat, Tun dalam sebuah kehidupan peribadinya hanya seorang anak kampung biasa daripada Kedah  yang pernah menjadi seorang peniaga belon dan penjual air halia. Zaman kecilnya juga seperti kanak2 lain, bebas berbasikal bersama rakan mengelilingi  kampung. Cuma yang membezakan Mahathir dengan kanak2 lain, beliau begitu mencintai  buku sehinggakan setiap masa senggang dihabiskan dengan membaca buku tanpa jemu.

Lebih daripada itu, lelaki yang selalu dilihat dalam karisma tersendiri dan bijak berhujah dan melontarkan idea2 yang tidak terjangka dek orang lain ini  sebenarnya adalah seorang lelaki yang sangat pemalu terhadap wanita. Lantas bagaimana beliau menterjemahkan cintanya buat Tun Dr. Siti Hasmah juga turut dipertontonkan. Dari sini saya boleh melihat sisi lain insan yang bergelar Tun Mahathir Mohamad ini.

Zaman Kanak2
Mengimbau zaman kanak2 Tun, jelas diceritakan beliau seorang kanak2 yang sangat bijak dan gemar membaca buku. Pemikiran beliau sangat jauh beza dengan rakan seusia. Sejak zaman kanak2 Tun juga gemar berniaga dengan menjual belon. Pelakon cilik Shafieq Shazwan begitu berjaya membawa watak Tun dizaman kanak2nya. Dan watak ayah yang dilakonkan oleh Dato' Jalaluddin Hassan juga tidak kurang hebatnya.

Zaman Remaja
Watak zaman remaja Tun dilakonkan oleh Pelakon Ezani. Tun yang minatnya lebih kepada peguam tapi tidak kesampaian. Dan telah diarahkan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran. Dan apabila beliau telah melanjutkan pelajarannya di Kolej King Edward VII  di Singapura. Dan di sini jugalah bermulanya bibit2 percintaan beliau dengan Tun Siti Hasmah yang wataknya dipegang oleh Misha Omar. Jelas diceritakan Tun pada zaman remajanya begitu sangat pemalu dengan wanita.

Dalam zaman ini, tumpuan lebih diberi pada kehidupan Tun pada zaman penjajah. Walaupun  masih menuntut tetapi Tun merupakan seorang pemuda yang berani memperjuangkan hak-hak Melayu apabila British memperkenalkan Malayan Union. Tun begitu lantang menentang penjajahan di Tanah Melayu. Dan di sinilah bermulanya penglibatan Tun dalam arena politik.

Zaman Dewasa
Pada zaman inilah jelas diceritakan segala perjuangan Tun Mahathir. Di sini banyak sekali menceritakan kisah hidup Tun yang sudah mula berkecimpung dengan serius dalam arena politik dan UMNO. Daripada bermulanya beliau menyertai UMNO di peringkat negeri Kedah, membawa kepada perlantikannya dalam MAGERAN, dilantik sebagai Menteri Pelajaran, kemudian sebagai Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya sebagai Perdana Menteri.

Dan babak yang paling menyentuh hati ialah apabila ditayangkan di layar putih, hari di mana Tun mengumumkan perletakan jawatan beliau dalam semua jawatan yang beliau sandang.Walau pun sudah lama berlalu, tapi bila melihat imbasan semula itu, hati saya sangat2 tersentuh. Kesannya dapat kita semua lihat hingga ke saat ini. Bukannya saya menidakkan kewibawaan kepimpinan kita sekarang dalam mengemudi Malaysia ye cuma saya lebih selesa di bawah kepimpinan beliau.

Sejujurnya, saya sangat berpuas hati dengan muzikal kali ini. Bukan suatu yang mudah untuk mengangkat kisah perjalanan hidup seorang tokoh disegani ke pentas teater. Mungkin lebih senang menjadikannya sebagai dokumentari tetapi untuk mengolah dan mempersembahkan kepada umum, suatu kerja yang begitu mencabar. Sekalong tahniah dari saya untuk semua warga kerja dan para pelakon yang mampu merealisasikan teater ini. Dan setinggi2 terima kasih kepada pengarahnya Rosminah Tahir kerana menghadiahkan kepada kami rakyat Malaysia sebuah rentetan kisah hidup negawaran terulung ini. Saya tahu hasil tangan beliau pasti tidak mengecewakan. Menonton dalam barisan hadapan cukup2 mengujakan kerana setiap babak yang dilakonkan dapat dilihat dengan jelas.

Oh selain garapan cerita yang sangat baik, lagu2 dalam muzikal ini juga saya sangat2 suka terutamanya lagu Teduhan Cinta dan Insan Penakluk. Semalam beli CD lagu tersebut dan hari ni asyik melayan 2 lagu tersebut berulang2 kali.

Bagi yang belum menonton, pergilah dapatkan tiket. Tidak rugi untuk anda menonton. Marilah kita sama2 menghayati pengorbanan dan sumbangan yang telah Tun Mahathir berikan kepada Malaysia sehingga sampai keperingkat sekarang. Dan selagi ada hayatnya, hormatilah dan kenanglah jasanya kepada negara. Jangan nanti bila beliau pulang kepada Pencipta-Nya, barulah kita meratap hiba. Sedangkan semasa hidupnya, beliau dicerca. Jika tiba saatnya itu nanti, semuanya sudah tidak berguna.

1 comments:

Ain said...

wow bestnya boleh tengok teater Tun Mahathir. Good review from you :)

 

Copyright Maksuee 2008 ~ 2014 | Designed by Rinda's Template | Inspired by Ipiet Template