Assalammualaikum....
Jumaat penuh barakah. Semoga keberkatan Jumaat membawa satu rahmah kepada kita semua. Lama Maksue tak menjengah di sini. Banyak perkara yang nak dicoretkan tapi biarlah ia tersimpan kemas di hati Maksue. Kebelakangan ini banyak dugaan tak terduga berlaku. Tapi syukur alhamdulillah Allah masih pinjamkan kesabaran itu pada diri Maksue. Cuma kadang2 bila rasa itu tidak tertanggung tangisan mampu memberi penenang seketika. Semoga Allah sentiasa kekalkan rasa sabar itu dalam diri Maksue supaya Maksue tidak tersasar dalam menilai dan membuat keputusan.
Pagi ni terbaca satu artikel yang menarik perhatian Maksue. Bila baca2... hati Maksue ni kerikil ke sutera ye? hmmm....
*******************************
Halanglah lintasan hati untuk menipu, kerana jika terlaksana lintasan itu ia akan bertukar menjadi halilintar yang menyambar hati orang lain! Halilintar yang menyambar membakar hati yang ditipu.
Wajah menjadi muram, gerak badan menjadi lemah akibat disambar halilintar itu. Segalanya menjadi suram. Kegelapan menyelebungi hati, zulmat membungkam jiwa.
Jika terkena pada hati yang ibarat batu kerikil masih dapat dipertimbangkan, namun bagaimana jika terkena pada hati selembut sutera. Sutera tidak boleh dibasuh sesuka hati kerana ia sensitif. Sutera itu mahal harganya kerana cara penjagaannya perlu rapi. Perlu kepekaan tanpa kelalaian.
Batu kerikil keras teramat. Jika ditumbuk tidak dapat tidak akan merasa kepedihannya. Berhati-hatilah apabila berhadapan dengan perwatakan yang belum dikenali, kerana kita masih belum tahu apa didalamnya.
KERIKIL ATAU SUTERA?
Bertenanglah wahai pemilik sutera! Kerana orang yang bicara denganmu itu tidak tahu bagaimana keadaan hati kamu. Bertindaklah bersama Allah S.W.T. Bawalah Allah S.W.T ke dalam hati kamu.
Jika Dia dapat mengampunkan dosa hambanya, siapalah kita sehinnga terlalu ego tidak mahu memaafkan orang yang menyakitkan kita?
Jika kita ikhlas memberi mengapa kita takut untuk menerima. Terimalah apa sahaja yang diberi kembali kerana itulah yang selayaknya untuk kita. Kaji semula hati kita, semasa kita memberi adakah dalam hati kita ada 'tarik tali'.
Adakah wujud dalam hati kita rasa ragu-ragu terhadap takdir dan ketentuan Allah S.W.T?
Jika ada rasa sebegitu, ubahlah! Mungkin hati kita perlu ditarbiyyah. Noda hitam yang bertompok masih lagi berbekas. Bersihkanlah dengan zikir dan fikir. Zikirlah dari dalam bukan sekadar bicara bibir. Fikir dan lakukanlah, bukan sekadar fikir dan jadikan pekasam.
"Jadilah seperti pohon yang berbuah, dibaling kayu dibalas dengan buah yang dapat dimakan enak."
Beruntunglah wahai si kerikil. Engkau kebal akan tohmahan dan tumbukan yang diterima. Namun ingatkah engkau akan air yang menitis di atas batu akan meninggalkan bekas?
Engkau masih ada perasaan, engkau masih ada jiwa. Jika terlalu lama engkau menerima tumbukan, ia akan berbekas! Sirnakanlah bekas itu dengan redha. Allah S.W.T telah menetapkan itu terbaik buat kamu. Indahkanlah diri kamu dengan sabar kerana sabar itu indah.
Jika sabar menghiasi diri, keindahan diwajah anda akan terserlah. Allah S.W.T bersama kamu wahai penyabar. Namun, ingatlah! Jangan sampai sabar itu memakan diri kamu apabila kamu bersabar dengan kemungkaran.
Orang yang paling sabar diantara kamu ialah orang yang memaafkan kesalahan orang lain padahal dia berkuasa untuk membalasnya." (HR Baihaqi)
Sabarlah dalam bersabar nescaya tidak akan timbul persoalan "sampai bila aku perlu bertahan?".